
Windows 8
Windows 8 merupakan sistem pengendalian keluaran Microsoft bagi kegunaan komputer peribadi, termasuklah komputer meja rumah dan perniagaan, komputer riba, tablet dan PC teater rumah. Ia adalah sebahagian daripada keluarga sistem pengendalian Windows NT serta menggantikan Windows 7.
Pembangunan sistem pengendalian ini bermula sebelum pelancaran pendahulunya pada tahun 2009. Kewujudannya pertama kali diumumkan pada Januari 2011 semasa Pertunjukan Elektronik Pengguna. Semasa pembangunan dan fasa ujiannya, Microsoft melancarkan tiga versi pra-pelancaran: Previu Pembangun (September 2011), Previu Pengguna (Mac 2012), serta Previu Pelancaran (Mei 2012). Pada 1 Ogos 2012, Windows 8 sudah melepasi peringkat pembangunan dan dilancarkan untuk pengilang. Windows 8 dijangkakan boleh didapati pada 26 Oktober 2012.
Windows 8 dibina berdasarkan bahasa reka bentuk Metro serta memperkenalkan satu bentuk baharu “perisian gaya Windows 8”, yang hanya boleh didapati melalui Windows Store. Windows 8 turut menampilkan skrin Start baharu, Internet Explorer 10, sokongan asli untuk USB 3.0, Windows Defender serba baharu yang menentang perisian jahat, Windows To Go, serta sokongan bagi UEFI SecureBoot, yang turut menimbulkan kontroversi.
Windows 8 boleh didapati dalam empat edisi utama: Windows 8, Windows 8 Pro, Windows 8 Enterprise, dan Windows RT. Tiga edisi terawal mempunyai keperluan perkakasan yang sama seperti Windows 7. Edisi terakhir pula dijalankan pada komputer tablet dengan seni bina ARM dan mempunyai keperluan perkakasan berbeza. Vendor perkakasan yang sudi menerima pensijilan Microsoft bagi peranti keluaran mereka perlu memenuhi beberapa keperluan pensijilan. Windows 8 Enterprise dan Windows RT tidak boleh didapati di kedai-kedai jualan biasa.
. . . Windows 8 . . .
Pembangunan Windows 8 bermula sebelum Windows 7 diedarkan[2] pada tahun 2009. Pada Januari 2011, semasa Pertunjukan Elektronik Pengguna (CES), Microsoft mengumumkan bahawa Windows 8 akan menambah sokongan bagi pemproses mikro ARM sebagai tambahan kepada pemproses mikro x86 daripada Intel, AMD dan VIA.[3][4] Pada 1 Jun 2011, Microsoft secara rasminya mendedahkan antara muka pengguna baharu Windows 8 di samping ciri-ciri tambahan semasa Taipei Computex 2011 di Taipei (Taiwan) oleh Mike Angiulo serta semasa sidang D9 di California (Amerika Syarikat) oleh Julie Larson-Green dan Presiden Windows Microsoft Steven Sinofsky.[5][6] Sebulan sebelum sidang BUILD diadakan, Microsoft membuka sebuah blog baru dipanggil “Membina Windows 8” untuk pengguna dan pembangun pada 15 Ogos 2011.[7]
Microsoft mendedahkan ciri-ciri baharu Windows 8 serta pembaharuannya pada hari pertama sidang BUILD pada 13 September 2011.[8] Microsoft juga melancarkan Windows Previu Pembangun (binaan 8102) bagi Windows 8 pada hari yang sama, yang turut menyertakan SDK dan peralatan pembangun (seperti Visual Studio Express dan Expression Blend) untuk membangunkan aplikasi bagi antara muka baharu Windows 8.[9] Menurut Microsoft, lebih daripada 500,000 muat turun bagi previu pembangun tersebut dalam masa 12 jam terawal pelancarannya.[10] Previu Pembangun turut memperkenalkan skrin Start. Butang Start pada desktop membuka skrin Start dan bukannya menu Start.
Pada 16 Februari 2012, Microsoft menangguhkan tarikh luput previu pembangun. Asalnya ditetapkan tarikh luputnya pada 11 Mac 2012, kali ini keluaran tersebut ditetapkan semula tarikh luputnya kepada 15 Januari 2013.[11]
. . . Windows 8 . . .